PROGRAM bual bicara Islamik, Klinik D’Hijrah Istimewa Syawal bakal menampilkan kelainan menerusi gandingan pakar motivasi, ustaz dan selebriti tempatan.
Barisan panel terlibat adalah pakar motivasi terkenal Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah (DMFK) bersama Remy Ishak yang membincangkan tajuk Mengekalkan Kecemerlangan Di Hari Raya dan Ustaz Azman Shah Alias (PU Azman) bersama Mark Adam bagi mengupas isu Jauh Di Mata Dekat Di Hati.

Penerbit program Klinik D’Hijrah Nor Shirah Nabeehah Salimi memberitahu Mynewshub, sempena Syawal kali ini  program tersebut akan mengupas isu-isu berkaitan sambutan lebaran.
“Topik yang dipilih kali ini sangat santai, kita mengetengahkan Jauh Di Mata Dekat Di Hati yang mempunyai kaitan dengan silaturahim dan kasih sayang.
“Satu lagi tajuk iaitu Mengekalkan Kecemerlangan Di Hari Raya pula mengupas bagaimana mahu mengekalkan segala kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan,” katanya.

Tambah Shirah, selain mendapat informasi berkaitan isu yang dikupas para panel, para penonton juga berpeluang bertanyakan soalan berkaitan permasalahan dalam kehidupan seharian.
Disamping itu, mereka juga akan dihiburkan secara live oleh band Caravan Of Praise yang diketuai oleh Andy Flop Poppy, menyampaikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan dan hari raya.
Mempunyai 335 episod, program Klinik D’Hijrah memulakan siarannya pada 1 Mac lalu dari 7 pagi sehingga 8 pagi setiap hari.
Manakala Klinik D’Hijrah Istimewa Syawal pula, direncanakan bersiaran pada 1 dan 2 Syawal pukul 8.30 hingga 9.30 malam di saluran TV AlHijrah (Astro 114). – MYNEWSHUB.CC