KUALA KANGSAR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam‎ Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berikrar untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan penjawat awam temasuk mendapatkan kenaikan tangga gaji dan bonus.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata kerajaan perlu memberikan kenaikan gaji dan bonus selaras dengan bebanan yang ditanggung penjawat awam ketika ini.
“Walaupun adanya kenaikan gaji, namun ia sedikit dan tidak‎ mencukupi bagi mereka yang mempunyai lebih tanggungjawab…jika kerajaan tidak memberi bantuan terutamanya untuk menghadapi Ramadan, ia akan memberi tekanan kepada penjawat awam,” katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Kolej Melayu Kuala Kangsar hari ini.
Ditanya mengenai permintaan bonus raya Cuepacs kepada kerajaan, Azih berkata pihaknya masih belum dapat bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan perkara itu.
“Cuepacs meminta kerajaan mempertimbang sekurang-kurangnya bonus sebulan ‎gaji,” katanya. – BERNAMA

