SETELAH lima tahun dipenjarakan atas kesalahan dadah, vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail akan dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor dalam masa terdekat ini.
Memetik laporan Harian Metro, isterinya, Sabariah Zakaria meminta semua pihak memberikan suaminya ruang untuk bertenang dan berehat bersama keluarga sebaik dibebaskan.
“Berilah Ameng peluang untuk bertenang dan mengembalikan kekuatan dan keyakinan dirinya sehari dua ini.
“Abang Ameng akan bebas, tapi saya tidak mengesahkan pada mana-mana pihak yang beliau akan dibebaskan esok,” katanya.
Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Seksyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Walau bagaimanapun, hukuman terhadap vokalis itu dipendekkan berikutan dia berkelakuan baik serta menunjukkan disiplin cemerlang semasa dipenjarakan. – MYNEWSHUB.CC

