KEMAMAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyita dua buah bot dan memberkas 20 nelayan asing warga Vietnam yang sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding, di sempadan perairan Terengganu dan Pahang semalam.
Pengarah APMM Pahang Kapten Maritim Khoo Teng Chuan berkata kedua-dua bot tersebut ditahan kira-kira 67 batu nautika dari Tanjung Tembeling, Pahang pada pukul 2.30 petang.
“Ketika melakukan Op Perkasa dan Op Marikh di sekitar perairan Pahang kita mengesan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan dan didapati mereka sedang leka menangkap ikan secara tunda ganding.
“Sebaik menyedari kehadiran kami nelayan asing itu cuba melarikan diri dan pihak kami berjaya menahan selepas lima batu nautika mengejar mereka,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Jelasnya hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya seorang daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala yang lain tidak memiliki sebarang dokumen dan permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan menangkap ikan, bot serta hasil tangkapan yang bernilai kira-kira RM1 juta.
“Kesemua nelayan yang berusia antara 18 hingga 45 tahun itu dibawa ke lokap APMM Kuantan untuk siasatan lanjut manakala kedua-dua bot yang disita ditunda ke jeti APMM Kemaman.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan, bot boleh dirampas manakala tekong didenda RM1 juta dan awak-awak boleh didenda sehingga RM 500,000 setiap seorang,” katanya.
Beliau juga dalam pada itu menyeru orang ramai terutamanya nelayan tempatan agar dapat menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang pencerobohan dengan menghubungi Operasi APMM Wilayah Timur di talian 09-5717345. – BERNAMA

