KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui kelibat 10 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan JDTII dalam skuad kebangsaan antara faktor kemenangan Malaysia ketika bertemu Timor-Leste baru-baru ini.
Setiausaha Agung FAM merangkap Pengurus Pasukan Kebangsaan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, kehadiran pemain JDT dan JDTII tersebut merupakan satu sumbangan besar kepada pasukan kebangsaan.
“Kehadiran 10 pemain JDT dan seorang pemain JDT II dalam skuad Harimau Malaysia dilihat berjaya memperkasakan skuad Harimau Malaysia kali ini dan ia bolehlah dianggap satu sumbangan besar JDT kepada pasukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Pasukan Malayisa menewaskan Timor-Leste 3-0 pada perlawanan pertama Play-Off pertama Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor ada 2 Jun lalu.
Terdahulu, Hamidin mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaysia.
Menurut beliau, Tunku Ismail turut membenarkan skuad Harimau Malaysia menggunakan fasiliti bertaraf antarabangsa milik JDT seperti sesi latihan di Padang Latihan Seri Gelam dan Pusat Latihan Tertutup Datuk Suleiman Mohd. Noor.
“Tahniah kepada Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan para pemain Harimau Malaysia yang telah mengotakan janji mereka untuk memberi persembahan menarik dan juga kemenangan selesa sebagai bekalan menjelang perlawanan kedua di tempat lawan pada 6 Jun 2016. – mynewshub.cc