KUALA LUMPUR – Seorang ‘ulat parkir’ didenda RM500 atau lima hari penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendesak dan mengarahkan pemandu meletakkan kenderaan tanpa kuasa sah.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizul Kusnan, 21, dan memerintahkannya membayar denda hari ini.
Azizul, seorang pengawal keselamatan dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan bangunan RHB Bank, Jalan Tun Razak, di sini pada pukul 2 pagi, 29 Mei lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Azizul ditangkap pihak polis semasa dia menghampiri dan meminta seorang pemandu sebanyak RM20 selepas pemandu berkenaan meletakkan keretanya di situ.
Pegawai Pendakwa Trafik Hasimah Hashim memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh bagaimanapun Azizul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menjaga orang tuanya yang uzur.
Semalam, lima ulat parkir termasuk seorang warga Sri Lanka didenda antara RM500 dan RM550 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendesak dan mengarahkan pemandu meletakkan kenderaan tanpa kuasa sah. – BERNAMA

