NEW DELHI – Seramai 80 orang membunuh diri di sebuah kampung di India sejak awal tahun ini sehingga kini – mengakibatkan penduduk berasa bimbang mungkin ada ‘roh jahat’ yang sengaja membuat kekacauan di situ.
Demikian menurut laporan akhbar berpengaruh The Times of India memetik Rajendra Sisodiya, ketua kampung di Badi yang terletak di daerah Khargone di negeri Madhya Pradesh, 970 kilometer dari utara ibu kota New Delhi.
Beliau mendakwa kes-kes bunuh diri itu konon disebabkan oleh kehadiran ‘syaitan’ dalam kampung pedalaman itu. Secara kebetulan Khargone sendiri merupakan antara 250 daerah paling miskin dan terpencil di seluruh India.
Kepercayaan pada tahyul dan ‘roh jahat’ dikatakan memang sesuatu yang biasa berlaku di daerah itu. Khargone mencatatkan sejumlah 381 kes bunuh diri sepanjang tahun lepas, iaitu purata satu kes bunuh diri pada setiap hari.
Bahkan, Rajendra sendiri dipilih menjadi ketua kampung lebih dua bulan lalu selepas ketua kampung sebelum itu, iaitu sepupunya, Jeevan, ditemui menggantung dirinya sendiri pada dahan sebatang pokok di hadapan rumahnya.
Lebih menyedihkan, ibu dan saudara lelakinya itu juga mati membunuh diri. Kampung tersebut hanya mempunyai 2,500 penduduk, tetapi purata 350 kes bunuh diri dilaporkan berlaku pada setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.

“Ada sejumlah 320 keluarga dalam kampung kami ini, dan sekurang-kurangnya seorang daripada setiap keluarga tersebut sudah pun membunuh diri mereka sendiri,” kata Rajendra seperti dilaporkan oleh The Times of India.
Bagaimanapun, seorang ahli psikiatri tempatan, Dr. Srikanth Reddy memberitahu akhbar itu, beliau percaya kes bunuh diri tersebut berlaku akibat faktor kemurungan dan episod skizofrenia selain masalah kesempitan wang.
Ia kemungkinan juga kerana penduduk kampung menggunakan terlalu banyak racun perosak pada pokok tanaman mereka seperti pernah berlaku di luar negara yang menyaksikan penduduk seluruh kampung membunuh diri.
Beliau berkata, penduduk perkampungan tersebut mungkin sukar memahami masalah mental seperti kemurungan, justeru mereka menyalahkan kehadiran ‘roh jahat’ konon sebagai punca bagi kes-kes bunuh diri di situ selama ini.
Srikanth juga dipetik oleh The Times of India sebagai menjelaskan bahawa dalam satu kajian saintifik dijalankan di China beberapa tahun lalu mendapati sebilangan besar petani di satu tempat tertentu banyak kes membunuh diri.
Kajian tersebut mendapati, racun perosak digunakan mereka mengandungi organophosphate, yang amat toksik dan menyebabkan masalah mental kemurungan dalam kalangan penduduknya itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

