JOHOR BAHARU – Tiga lelaki yang merupakan saki baki anggota Geng Kadir yang aktif melakukan rompakan bersenjata di kawasan Iskandar Malaysia, ditahan dalam serbuan berasingan di Bandar Seri Alam dan Kota Tinggi, pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 26 dan 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Tenang, Sungai Tiram di Bandar Seri Alam pada pukul 6.30 pagi.
Katanya, dari tangkapan itu, polis merampas 49 peluru hidup dan dua pistol, masing-masing jenis Revolver 38 Smith and Wesson dan buatan sendiri.
Selain itu, satu bungkusan plastik mengandungi 505 gram dadah jenis heroin, sebuah kereta dan motosikal turut dirampas daripada mereka.
“Penahanan dua lelaki itu kemudian membawa kepada tertangkapnya seorang lagi rakan mereka berusia 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Makam, Kota Tinggi kira-kira pukul 9 pagi.
Kesemua mereka ini merupakan saki baki Geng Kadir yang pernah ditumpaskan tahun lalu kerana kegiatan sama,” kata beliau.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, modus operandi yang digunakan suspek ialah mereka menyasarkan kedai-kedai seperti 7-Eleven untuk mendapatkan wang tunai dan akan melepaskan tembakan sekiranya mangsa melawan.
“Ketiga-tiga mereka ini akan ditahan reman untuk siasatan lanjut sementara kami dalam usaha menjejaki tiga lagi rakan mereka yang masih bebas,” katanya. – BERNAMA

