KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN) kesal dengan pemimpin Pakatan Harapan yang cuba berlagak sebagai hero dengan mempelawa PAS menyertai gabungan parti pembangkang tersebut.
Exco Pemuda PAN, Ammar Atan berkata, pemimpin Pakatan Harapan tersebut membuat pelawaan itu tanpa mengadakan perbincangan dengan pemimpin PAN dan DAP kerana mahu menggantikan hero Pakatan Harapan yang sedang menjalani hukuman penjara.
“Usaha ini seharusnya didahului dengan perbincangan lumat dalam Majlis Pakatan Harapan. Soal ia diterima atau tidak soal yang ke-10, tetapi perlu menghormati parti-parti yang lain.
“Lebih baik ia dibicarakan terlebih dahulu sebelum diberikan secara terbuka bagai seorang lagak hero yang cuba mengganti hero yang terpenjara,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.
Meskipun beliau tidak menyebut secara langsung pemimpin Pakatan Harapan mahu berlagak seperti hero yang dimaksudkan, umum mengetahui ia ditujukan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamed Azmin Ali.
Manakala, hero terpenjara yang dimaksudkan beliau pula ialah bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merengkok di Penjara Sungai Buloh kerana didapati salah meliwat seorang lelaki lain oleh mahkamah.
Mohamed Azmin kelmarin merayu kepada PAS supaya kembali menyertai pakatan pembangkang yang turut dianggotai DAP dan PAN.
Beliau dipercayai membuat rayuan itu kerana bimbang jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor tergugat jika kedudukan PKR dan DAP di Selangor terjejas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ia ekoran kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam Pilihan PRN Sarawak yang berlangsung beberapa hari lalu.
PAS disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang pada tahun lalu selepas parti itu enggan tunduk kepada tekanan DAP dan PKR supaya mengabaikan beberapa aspek akidah Islam dalam agenda politiknya.
DAP dan PKR kemudiannya menubuhkan gabungan baharu parti pembangkang Pakatan Harapan bersama PAN yang dipimpin beberapa bekas pemimpin PAS yang taksub dengan Anwar.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad bagaimanapun awal-awal menegaskan pihaknya enggan enggan menerima pelawaan Mohamed Azmin kerana perkara seperti itu tertakluk kepada pendirian PAS Pusat. - MYNEWSHUB.CC

