KUALA LUMPUR – Bersediakah penduduk di sekitar bandar raya menghadapi banjir kilat? Hujan lebat yang turun di Lembah Klang, meskipun hanya beberapa jam, sering kali menyaksikan kenaikan dan limpahan air sungai mengakibatkan banyak jalan di kawasan rendah di ibu kota ditenggelami air.
Bah kilat di ibu kota bukanlah isu baharu. Kejadian pada 12 Mei di beberapa jalan utama di ibu negara, antaranya di Jalan Pantai Baharu dan Jalan Tuanku Abdul Halim menjejaskan lebih 100 kenderaan yang terperangkap.
Siapa yang harus dipertanggungjawabkan bagi memastikan hal sebegini tidak berulang? Apakah yang perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hal ini?
SISTEM SALIRAN LEMAH
Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Ku Halim Ku Hamid berkata faktor utama berlakunya banjir kilat, tidak lain tidak bukan adalah berpunca daripada sistem saliran yang lemah dan tidak efisien, yang tidak diselenggara dengan baik hingga menyebabkan ia tersumbat.
Memburukkan lagi keadaan apabila projek-projek mega dibangunkan tanpa menekankan dan mengambil kira faktor kritikal yang berkaitan selain sikap acuh tidak acuh kalangan anggota masyarakat.
Katanya ketika musim panas yang panjang baru-baru ini, banyak daun-daun kering dan ranting-ranting yang patah memasuki sistem saliran namun dibiarkan dan tidak dibersihkan dengan teliti hingga mengakibatkan air melimpah apabila berlakunya hujan lebat.
“Ketika kemarau panjang mungkin kita tidak perasan yang banyak daun dan sampah lain masuk ke dalam sistem saliran… sedimen dan longgokan hasil bawaan air itu akan menjadikan saliran itu tersumbat.
“Di hadapan mata saya, ada satu insiden di mana saya lihat sendiri longgokan kayu dan daun kering dibersihkan dengan cara disembur dengan air masuk ke longkang bukan dikutip dan dibuang… apabila disembur sebegitu sahaja, ia sebenarnya semakin masuk ke dalam dan akan membuatkannya tersumbat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata banjir kilat berisiko besar berlaku di kawasan rendah berikutan air hujan yang tertumpu di kawasan itu tidak boleh mengalir pantas ditambah dengan sistem saliran kawasan itu yang sedia tidak efisien.
“Apabila tersumbat dan air melimpah, kemudiannya ada pula halangan seperti batu, konkrit dan bangunan, situasi itu pastinya menjadi lebih parah,” katanya.
CARI JALAN
Ku Halim berkata seharusnya satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) padu yang merangkumi segala aspek untuk jangka pendek dan juga panjang perlu diusahakan sebagai persediaan menghadapi banjir kilat di ibu kota.
Pengalaman berhadapan dengan banjir kilat saban tahun, seharusnya menjadi panduan kepada pihak berkuasa bagi mengenal pasti segala bentuk kekuatan serta kelemahan persiapan menghadapi bencana.
“Ini masalah sikap. Apabila banjir kilat berlaku baru menyesal dan bersungguh-sungguh mencari punca sedangkan ketika belum berlaku, tiada tindakan drastik dan mampan diambil… tiada peningkatan dan perbezaan, seolah-olah tidak belajar daripada pengalaman lalu.
“Saya lihat kita punya banyak kelemahan daripada segi perparitan dan ia seharusnya diberi perhatian dan perubahan. Perlu ada tindakan penyelenggaraan yang proaktif, perlu juga buat simulasi dan pemetaan (saliran atau aliran air serta kawasan) yang baik dengan segera di mana banjir dijangka akan berlaku,” katanya.
Katanya kebanyakan infrastruktur di sesetengah kawasan terutamanya di tempat-tempat pembangunan yang berunsur lembah dan tempat yang sering hujan, tidak begitu menitikberatkan persekitaran dan reka bentuk bagi memastikan bagaimana aliran air datang dan pergi.
“Pembangunan dibuat secara sembrono tanpa memikirkan impaknya… tidak cukup dengan itu, sikap masyarakat yang gemar membuang sampah merata-rata terutamanya polisterin juga perlu dipersalahkan,” katanya.
MASALAH SERIUS
Sementara itu, pensyarah kanan Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah yang senada dengan Ku Halim, berkata satu-satunya langkah untuk memastikan banjir kilat tidak berulang, adalah dengan mewujudkan terowong banjir seperti Terowong Pengurusan Banjir dan Jalan Raya (SMART).
“Terowong SMART hanya membantu di sesetengah kawasan, bukan di seluruh Kuala Lumpur, satu lagi terowong ala SMART boleh dipertimbangkan untuk melencongkan air ke kawasan tadahan atau tasik tetapi saliran sebegini melibatkan kos amat tinggi,” katanya.
Azizan, yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Universiti Malaya, berkata kalau dahulu sistem saliran di ibu kota bersaiz besar namun kini kebanyakannya dikambus bagi memberi laluan kepada pembesaran jalan.
Maka, katanya tidak perlu La Nina, hujan biasa juga boleh menyebabkan banjir kilat sekiranya sistem saliran tidak diselenggara dengan baik.
“Air larian hanya menyerap ke dalam tanah dalam 50 peratus, manakala bakinya mengalir ke parit dan sungai tetapi masalahnya sekarang bila ada urbanisasi, banyak saliran yang berturap dengan konkrit… maka peratus air yang berada di permukaan akan menjadi lebih tinggi terutamanya di kawasan rendah.
“Masalah yang timbul adalah perparitan… saliran banyak tertutup dan diturap sebagai jalan, malah lubang untuk air masuk ke saliran juga kecil… untuk buat yang terbuka bahaya dan kalau letak grill pun akan dicuri. Maka perlu lihat langkah paling berkesan,” katanya.
Katanya tumpuan juga perlu diberikan terhadap kawasan yang sering mengalami banjir kilat dengan meningkatkan keberkesanan sistem saliran untuk mengalirkan air.
“Kalau ada dua arus air di jalan dan bertembung, air akan naik. Contohnya dari dua sungai mengalir ke satu sungai, air akan melimpah. Jadi kalau nak selesaikan masalah ini, tiada cara lain iaitu perlu lihat pada sistem perparitan,” katanya. – BERNAMA

