Sunday, March 3, 2024

Creating liberating content

Terpaksa Kerja Jauh, Lan...

BULAN ini bagaikan musim bagi selebriti wanita untuk melahirkan cahaya mata dan isteri...

Mahasiswa Boleh Cari Duit...

RASANYA kebanyakan kita merasakan zaman belajar di universiti ataupun di kolej adalah waktu...

S/U Politik PM Minta...

KECOH... Ketika penyokong Pakatan Harapan (PH) mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim ganti Tun...

“Nak Jilat…”, Pelawak Popular...

Beberapa lari lalu, melalui laporan sebuah akhbar tempatan, seorang wanita mendedahkan perangai 'hidung...

Pengusaha Pertanian Cameron Highlands Alami Masalah Tenaga Kerja

KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan pekerja, yang dialami kira-kira 2,000 pengusaha sektor pertanian di Cameron Highlands, perlu diatasi secara menyeluruh bagi mengelakkan pengeluaran sektor berkenaan terjejas dan menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid berkata sektor pertanian di kawasan tanah tinggi, yang menjadi pusat utama pengeluaran sayuran, bunga, buah-buahan dan teh negara, berhadapan keadaan kritikal kerana kekurangan pekerja.

“Sejak bulan Disember lalu, kira-kira 40 peratus daripada pekerja asing di Cameron Highlands tamat tempoh bekerja menyebabkan beberapa ladang dan kebun gagal beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan pekerja.

“Kami mengusahakan penanaman sayur, bunga, buah-buahan dan teh memang menghadapi masalah, terkesan sangat dengan kesukaran tanpa pekerja asing, malah ada di antara kami yang terpaksa kurangkan pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Menghormati keputusan kerajaan untuk menghentikan kemasukkan pekerja asing, beberapa persatuan pekebun mewakili pelbagai kaum di Cameron Highlands berharap kerajaan dapat mengkaji semula langkah itu bagi mengatasi keperluan mendesak terhadap tenaga kerja asing dan memberi kelonggaran bagi sektor pertanian.

“Kami juga berharap semua pihak termasuk rakyat negara ini faham akan masalah yang kami hadapi. Kami memang bergantung pada pekerja asing, atau lambat laun terpaksa gulung tikar,” katanya.

MASALAH SEMAKIN MERUNCING

Masalah kekurangan pekerja semakin runcing apabila kerajaan memutuskan untuk membekukan kemasukan tenaga kerja asing baharu dalam semua sektor kecuali sektor informal pembantu rumah pada Mac lepas.

Pada 12 Mac, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengumumkan kerajaan menetapkan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin, berkata majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang telah tamat tempoh visa pekerjaan dan mengambil pekerja asing yang tidak berdokumen di bawah Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin yang dilaksanakan sejak 15 Feb dan tamat pada 30 Jun.

Syed Abdul Rahman berkata beliau dan wakil Persatuan Pekebun-pekebun Kecil India Cameron Highlands, Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Pertubuhan Pengusaha Bunga Cameron Highlands dan pengusaha-pengusaha Ladang Teh Cameron Highlands bersedia bertemu pihak berkuasa berkenaan bagi mencari penyelesaian isu kekurangan pekerja.

Menurut Syed Abdul Rahman, keadaan akan menjadi lebih kritikal menjelang Jun apabila lebih ramai pekerja pulang ke negara masing-masing berikutan berakhirnya tempoh Program 6P dan majikan tidak dibenarkan mengambil pekerja asing baharu.

“Selesaikan masalah ini secepat mungkin sebelum kritikal. Sekarang ini sesetengah seksyen ladang teh terpaksa ditutup, terdapat pekebun sayur yang hanya mampu mengerjakan sebahagian kebunnya dan ada juga kebun terbiar kerana berhadapan masalah kekurangan pekerja,” katanya.

KERAJAAN BANYAK MENYOKONG

Tanpa pekerja yang cukup, keseluruhan kerugian yang akan ditanggung adalah besar kerana kadar pusing ganti sektor pertanian Cameron Highlands adalah tinggi iaitu RM5 juta sehari.

“Kadar pusing ganti dalam sehari bagi bunga adalah RM2 juta dengan 80 peratus adalah hasil eksport, sayur RM1 juta iaitu 80 peratus untuk keperluan tempatan, strawberi pula kira-kira RM30,000, manakala agropelancongan menerima kira-kira satu juta pelancong setahun, itu belum lagi ladang teh,” jelas beliau.

Sektor pertanian di Cameron Highlands bukan sahaja boleh menyebabkan pengusaha menanggung kerugian bahkan memberi kesan kepada ekonomi daerah, negeri dan negara.

Daripada satu sudut lain, Syed Abdul Rahman berkata para pengusaha sektor pertanian di Cameron Highlands banyak mendapat pelbagai manfaat daripada kerajaan seperti bantuan kewangan, kemudahan pinjaman mikro, pengangkutan serta pembelian dan pemasaran oleh FAMA.

“Pasti kita tidak mahu semua kemudahan dan yang diusahakan itu akhirnya merugikan sebab projek terbantut kerana tidak ada pekerja. Kemungkinan kami juga akan diseret ke mahkamah kerana gagal membayar pinjaman masing-masing,” kata beliau.


TIADA PEKERJA TEMPATAN

Syed Abdul Rahman menjelaskan, keseluruhannya terdapat 2,000 hektar tanaman sayur, 1,000 hektar bunga, 4,000 hektar teh dan 20 hektar strawberi dengan setiap satu hektar memerlukan tiga pekerja.

Beliau menarik perhatian bahawa selama ini majikan mematuhi peraturan dengan tidak mengambil pekerja tidak sah walaupun berhadapan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

Tidak sukar untuk memantau pekerja asing di tanah tinggi itu kerana segala permohonan dibuat melalui agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian, yang bertanggungjawab menilai keperluan tenaga kerja sesebuah ladang, katanya.

Mengenai pekerja tempatan, Syed Abdul Rahman berkata beliau pernah mengambil pelajar lepasan kolej-kolej komuniti, teknikal dan vokasional tahap 1, 2 dan 3 yang merupakan pemegang sijil iaitu di peringkat pekerja am serta pemegang sijil tahap 4 dan 5 itu peringkat penyelia.

“Walaupun sentiasa memberi peluang kepada rakyat tempatan, tapi pengalaman sama berulang. Mereka tidak dapat bertahan, paling lama hanya tiga atau empat bulan dan kami terpaksa cari dan bergantung kepada pekerja asing,” katanya sambil memberitahu hanya pekerja bahagian pengurusan sahaja yang bertahan.

Syed Abdul Rahman, yang pernah mengambil pelajar latihan industri, memberitahu perwatakan mereka berubah setelah mempunyai kelulusan.

“Jika waktu praktikal sanggup cabut rumput, bila dah ada kelulusan, hanya nak tengok orang cabut rumput. Kami tetap buka peluang untuk pekerja tempatan. Mereka akan dilatih sebelum bekerja, itu semua boleh dilakukan. Persoalannya bolehkah dapat orang tempatan?” katanya.

KERENAH PEKERJA ASING

Menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa pekerja asing diambil kerana dapat menjimatkan kos, beliau menjelaskan bahawa pengusaha ladang mengamalkan dasar gaji minimum.

Malah, lebih baik mengambil pekerja tempatan kerana hanya perlu bayar RM1,000 daripada ‘menyimpan’ pekerja asing yang lebih mahal sebab telah lama kerja.

“Pekerja asing juga punya kerenah, mereka nakkan kerja lebih masa, kalau tidak, mereka tidak mahu bekerja. Jadi kami berikan kerja overtime kira-kira tiga hingga empat jam dalam seminggu,” jelas beliau. Selain gaji minimum, tempat tinggal juga disediakan kepada kesemua pekerja.

Selain itu, kelebihan pekerja asing adalah mereka terikat dengan majikan, manakala pekerja tempatan akan mudah bertukar mencari pekerjaan di tempat lain.

Mengenai masyarakat orang asli di sekitar Cameron Highlands, Syed Abdul Rahman mengakui sukar untuk mengambil mereka bekerja mengikut jadual kerja kerana mereka terbiasa bekerja ‘ikut masa sendiri’.

“Walaupun gaji bulanan, mereka akan minta gaji setiap dua hari. Tapi ada juga generasi muda orang asli yang boleh ikut cara bekerja yang betul dan berdisiplin,” katanya.

Agak sukar mendapatkan belia Orang Asli pada masa kini kerana ramai diambil bekerja oleh agensi-agensi kerajaan seperti majlis daerah, Jabatan Kesihatan dan seumpamanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori