BAGAN DATOH – Seramai 4,018 nelayan pukat tunda Zon B dan Zon C di seluruh negara yang belum memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada bot masing-masing, diberi tempoh sehingga 1 Jun ini untuk berbuat demikian.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata ketika ini hampir 1,000 nelayan bot pukat tunda Zon B dan Zon C di seluruh negara secara sukarela memasang sistem pemantauan dan pengesanan bot menggunakan teknologi dari Jerman itu.
Menurut Ismail, bagi tujuan itu pihaknya akan mengedarkan secara percuma sistem pemantauan AIS kepada 2,621 bot nelayan pukat tunda Zon B di seluruh negara yang belum berbuat demikian.
“Bagaimanapun, bagi 1,397 nelayan pukat tunda Zon C yang berdaftar, mereka perlu membeli sendiri peralatan sistem pemantauan AIS itu daripada kita yang berharga RM4,600.
“Kami memfokuskan kepada bot pukat tunda dahulu kerana faktor pencerobohan ke zon pantai sering dilakukan oleh segelintir pengusaha bot begini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat dan sesi dialog bersama kira-kira 100 nelayan daerah itu pada Majlis Penerangan Penggunaan Sistem AIS di Hutan Melintang di sini hari ini.
Nelayan bagi Zon B adalah dikhaskan kepada aktiviti di sekitar lapan hingga 15 batu nautika manakala bagi Zon C pula adalah 15 hingga 30 batu nautika dari pantai.
Mengulas lanjut, Ismail berkata nelayan dari Perak dan Selangor merupakan paling ramai secara sukarela memasang sistem pemantauan AIS dan telah terbukti keberkesanannya sejak diperkenalkan pada 2014 terutama dari segi memantau pergerakan bot oleh pihak penguatkuasaan dan agensi terlibat.
“Sistem pemantauan AIS bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan nelayan di laut sekiranya berlaku bencana di tengah laut, bahkan pemilik kapal itu sendiri boleh memantau pergerakan bot mereka secara terus hanya menerusi satu aplikasi disimpan dalam telefon pintar.
“Malah kita dapat memantau dan akan terus menghubungi kapal tunda berkenaan agar menyuruh mereka berpatah balik sekiranya ia telah melepasi sempadan perairan negara asing agar tidak ditahan pihak penguat kuasa negara itu serta ia boleh menjadi bukti sekiranya ditahan,” katanya.
Selain itu katanya, sekiranya nelayan mengalami sebarang malapetaka di tengah laut, dengan hanya menekan butang ‘alert’ pada alat tersebut, isyarat kecemasan akan diterima pihak berkuasa bagi memudahkan mereka mengetahui lokasi kejadian sebelum operasi mencari dan menyelamat bermula.
Isyarat kecemasan juga dapat diterima oleh kapal dagang lain dalam jarak lingkungan 30 hingga 40 batu nautika, katanya.
Sebelum ini, Jabatan Perikanan telah memulakan pemantauan kapal secara bersepadu dengan mewujudkan Sistem Pengurusan Vessel iaitu memasang alat pengesan MTU (Mobile Tracking Unit) bagi memantau dan mengawasi pergerakan kapal nelayan laut dalam Zon C2 pada 2008, disusuli sistem pemantauan AIS.
Kapal nelayan laut dalam Zon C2 boleh menangkap ikan dari 30 batu nautika hingga ke perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). – BERNAMA

