KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta semua majlis sukan negeri supaya tidak mengganggu atlet negara yang sudah layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.
Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata beberapa negeri cuba memikat atlet berkenaan dengan tawaran lumayan bagi mewakili negeri mereka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Julai ini.
Menurutnya, tindakan tersebut akan menjejaskan prestasi dan tumpuan atlet berkenaan pada temasya sukan Olimpik yang dijadual dari 5 hingga 21 Ogos ini.
“Saya sentiasa mendengar ada negeri mahu atlet Olimpik negara supaya menyertai kontinjen negeri mereka…ini adalah salah. Layak ke Olimpik merupakan pencapaian yang jauh lebih besar berbanding pingat emas SUKMA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian antara MOM dengan Adecco Malaysia bagi Program Kerjaya Atlet di Muzium Sukan dan Dewan Kemasyhuran MOM di sini, hari ini.
SUKMA Sarawak akan diadakan dari 22 hingga 31 Julai ini.
Tunku Imran juga berharap atlet negara yang layak ke sukan Olimpik Rio memiliki semangat sama seperti jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang tidak sabar untuk menyumbang pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik di Rio.
Setakat ini, 12 atlet negara sudah melayakkan diri ke sukan Olimpik iaitu Pandelela Rinong, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bagi acara terjun.
Selain itu, Welson Sim dalam acara renang, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Jonathan Wong (menembak), Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (basikal) serta Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif (perahu layar).
Namun, masih ada beberapa acara sukan dalam proses kelayakan sehingga Julai ini, antaranya badminton, memanah, renang, gimnastik, golf, olahraga dan angkat berat. – BERNAMA
