KUALA LUMPUR – Tengoklah apa yang sudah jadi. Gara-gara termakan fitnah pembangkang khasnya pakar propaganda, Rafizi Ramli kononnya Tabung Haji (TH) tiada duit baru-baru ini ramai juga yang ‘ silap langkah’.
Tidak tentu pasal seramai 3,954 orang pendeposit dilaporkan menutup akaun simpanan TH mereka manakala 3,105 orang lagi telah membatalkan pendaftaran giliran untuk pergi menunaikan ibadah haji ditetapkan.
Maklumat malang yang cukup menyedihkan umat Islam ini diberitahu sendiri oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi kepada persidangan Dewan Negara di sini pada Selasa.
Kata beliau, inilah kesannya akibat fitnah jahat yang tidak betul dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap TH awal tahun ini sehingga mengelirukan masyarakat Islam khasnya penyokong tegar Pakatan Harapan sendiri.
Beliau kesal perbuatan tersebut cuba menggugat sebuah institusi selama penubuhannya telah banyak memberi faedah besar kepada rakyat negara ini terutama umat Islam yang miskin tidak mampu mengerjakan fardu haji.
Menurut Asyraf Wajdi, mereka yang sengaja membatalkan pendaftaran pergi haji, jika masih lagi berminat hendak mendaftar semula dengan pihak TH perlu ‘putar balik’ menunggu giliran kuota lebih 80 tahun lamanya.
Beliau menambah, seperti yang telah dibentangkan baru-baru ini, kedudukan semasa kewangan TH tetap kukuh namun ia menjadi bahan fitnah susulan pembelian tanah milik 1MDB di kawasan Tun Razak Exchange tahun lalu.
Fitnah tersebut menjadi bertambah sensasi berpunca daripada kelewatan sedikit pihak TH mengumumkan pembayaran dividen seperti tahun lalu iaitu pada 28 Februari konon agensi itu sudah tiada wang simpanan lagi.
Walhal, katanya ia tidak pun melanggar apa-apa peraturan yang ditetapkan Bank Negara Malaysia dan dividen lazimnya hanya akan dibayar selepas proses biasa diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan pelbagai agensi lain.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

