KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menjelaskan terdapat guru yang menerima latihan untuk memberi bantuan kecemasan di sekolah.
Timbalan Menterinya, Chong Sin Woon berkata setiap sekolah juga mempunyai guru bimbingan yang mengendalikan kelab beruniform termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang mempunyai pengetahuan dalam memberi bantuan kecemasan.
“Justeru itu setiap guru sepatutnya memberi bantuan secepat mungkin sekiranya terdapat kejadian atau kes kecemasan di sekolah,” katanya menjawab saranan Senator Datuk Mohd Salim Mohd Sharif di Dewan Negara agar jawatan pegawai perubatan diwujudkan di sekolah untuk melatih guru dalam menangani kes kecemasan.
Terdapat beberapa kes kecemasan di sekolah sejak akhir-akhir yang antara lain melibatkan murid dipatuk ular dan semalam seorang murid meninggal dunia selepas pengsan di dalam kelas.
Chong berkata kementerian juga tidak mengabaikan Konsep 3K (Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan) di semua sekolah bagi memastikan keadaan sekolah selamat dan bersih bagi pelajar dan guru.
“Kejadian kemalangan di sekolah bukanlah diingini semua pihak. Namun di pihak kementerian, kita akan sentiasa pastikan konsep 3R tidak diabaikan untuk mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.- BERNAMA

