JOHOR BAHRU – Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini menyebabkan ada petani di Johor kerugian ratusan ribuan ringgit akibat kerosakan tanaman mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata kategori tanaman yang paling terkesan akibat perubahan cuaca itu ialah sayur-sayuran yang rosak melibatkan kawasan pertanian hampir 70.4 hektar.
Di daerah Mersing, tanaman sayur-sayuran di atas tanah seluas 17.6 hektar rosak menyebabkan 11 petani kerugian RM98,000 manakala di Segamat, 43 petani rugi RM132,000 setelah tanaman mereka di atas kawasan seluas 52.81 hektar rosak.
“Nilai keseluruhan kerosakan melibatkan sayur-sayuran sahaja sebanyak RM230,000,” kata beliau yang dihubungi Bernama di sini hari Khamis.
Katanya, bagi buah-buahan pula, 41 petani mengadu kerugian RM215,000 selepas tanaman mereka di kawasan seluas 108 hektar rosak. Ini turut melibatkan petani di Segamat dan Mersing.
Cuaca panas melampau juga turut mendatangkan kesan terhadap tanaman padi dan cendawan di daerah Kluang dan Mersing.
Difahamkan tiga pengusaha padi dan seorang pengusaha cendawan masing-masing kerugian RM14,000 dan RM9,000 setelah tanaman padi seluas 28 hektar dan tanaman cendawan di atas kawasan seluas 0.1 hektar musnah.
Sehubungan itu Ismail berkata, Jabatan Pertanian akan memberikan bantuan ihsan kepada mereka yang terjejas bagi membantu memulihkan semula projek pertanian mereka yang berskala kecil.
“Bantuan bukan bertujuan membayar ganti rugi kepada kerosakan akibat bencana dan bantuan adalah dalam bentuk input pertanian seperti baja, benih dan peralatan terpilih berjumlah maksimum RM1,000 bagi kategori buah-buahan dan RM2,000 untuk sayur-sayuran.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Jabatan Meteorologi dalam lawan sesawangnya meramalkan tiada hujan akan berlaku di sesetengah tempat di Johor bermula hari ini hingga Selasa depan dengan suhu cuaca adalah sekitar 31 darjah celcius. – BERNAMA

