KUMPULAN pengganas Abu Sayyaf dilaporkan telah memenggal kepala salah seorang daripada tiga tebusan warga asing yang diculik dari sebuah resort mewah di selatan kepulauan Filipina, September lalu sambil mengancam akan melakukan perkara sama kepada tebusan lain sekiranya tidak diberikan wang tebusan bernilai 900 juta pesos (RM75 juta).
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengesahkan tebusan yang terbunuh adalah John Ridsdel, 68, seorang bekas eksekutif perlombongan.
Laporan tidak rasmi yang dihantar oleh pasukan keselamatan dari Pulau Jolo menyatakan, mangsa telah dipancung sekitar jam 3 petang kira-kira 1,900km di selatan ibu negara Manila, di bandar Patikul dekat Pulau Sulu, pada Isnin.
Laporan itu turut mendedahkan lelaki yang memancung tebusan warga kanada itu ialah Ben Tokoh Sawadjan.
Sementara itu, sebuah laporan lain menyatakan bahawa satu lagi kepala yang dipenggal dipercayai milik tebusan warga Norway, Kjartan Sakkingstad, 56, ditemui berhampiran pintu masuk Dewan Perbandaran Jolo kira-kira jam 8 malam.
Bagaimanapun The Straits Time melaporkan, sumber mereka memberitahu kepala itu sebenarnya adalah milik Ridsdell.
Kesemua tebusan iaitu Ridsdell, Sakkingstad, seorang lagi warga Kanada, Robert Hall, 50 dan seorang wanita Filipina, Maritess Flor, 40 telah diculik pada 21 September 2015 sewaktu mereka bercuti di Resort Holiday Ocenview Samal di pulau Samal, wilayah Davao.
Beberapa minggu lalu, Abu Sayyaf telah mengeluarkan satu video mengancam untuk mula memenggal kepala tiga tebusan lelaki itu pada Isnin.
Dengan parang terhunus di leher Ridsdell, Sakkingstad dan Hall dilihat merayu kepada kerajaan mereka untuk membayar wang tebusan sebanyak 300 juta peso (RM25 juta) bagi setiap seorang sementara Flor tidak dibenarkan bercakap.
Kumpulan itu dikatakan telah menangguh hasrat untuk membunuh mereka pada 8 April tetapi mengubahnya ke tarikh 25 April.
Ketua kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon telah diiktiraf oleh kumpulan pengganas Negara Islam (Daesh) sebagai pemimpin kumpulan itu yang terkenal dengan aktiviti peras ugut, penculikan, memenggal kepala dan melakukan pengeboman. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Straitstime