BAGAN SERAI – Seramai 17 orang termasuk dua wanita masing-masing warga Thailand dan Indonesia ditahan dalam operasi bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan di sini, malam tadi.
Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman ASP Mohd Hazilreza Mohd Ghazali berkata dalam operasi tiga jam itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Narkotik telah menahan lima lelaki warga tempatan kerana memiliki dan menagih dadah.
“Jabatan Imigresen pula menahan lima lelaki warga Myanmar serta lima lagi lelaki masing-masing warga Thailand, Nigeria, Pakistan, Bangladesah dan Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan.
“Dua wanita turut ditahan atas kesalahan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi bermula 9 malam hingga 12 malam itu, pihaknya juga telah memeriksa sebanyak 150 lori dan 70 bas ekspres.
“Sebanyak 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.
Mohd Hazilreza berkata operasi itu disertai 86 anggota dari Polis Diraja Malaysia, JPJ, AADK, Jabatan Imigresen, Plus Berhad, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Propel Berhad.
“Operasi bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna ketika berada di jalan raya,” katanya. – BERNAMA