KOTA KINABALU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah yakin akan dapat memadam keseluruhan 100 hektar kawasan hutan terbakar membabitkan sebuah ladang dan sempadan Hutan Simpan Binsuluk di Kampung Lumat, Beaufort, hari ini.
Untuk itu, Penolong Pengarah Operasi jabatan itu Khairul Azuwan Ibrahim berkata pihaknya dengan kerjasama anggota bomba dari Sarawak dan Labuan akan meneruskan operasi yang memasuki hari ke-11 dengan memberi tumpuan untuk memadam 25 peratus sahaja lagi kawasan yang masih terbakar.
“Kami menjangkakan operasi memadam 25 peratus lagi kawasan yang terbakar itu akan dapat diselesaikan hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Khairul Azuwan berkata menurut maklumat Jabatan Perhutanan negeri, dianggarkan kira-kira 200 hektar daripada 12,106 hektar kawasan keseluruhan Hutan Simpan Binsuluk terbakar, namun, ada sebahagian kawasan terbakar telah dipadamkan, dan tinggal beberapa tempat sahaja lagi perlu diberi tumpuan.
Sehubungan itu, katanya, jabatan terbabit sedang membuat laluan masuk ke tempat yang masih terbakar itu bagi memudahkan pihak bomba menjalankan operasi memandangkan tiada laluan darat untuk ke kawasan terbabit.
Dalam pada itu, katanya, terlalu banyak cabaran dihadapi anggota bomba sepanjang operasi bersepadu itu termasuk risiko diserang strok haba memandangkan keadaan cuaca panas dan kering ditambah bahang panas di kawasan terbakar.
“Kami juga mengalami kesukaran masuk ke kawasan terjejas, sumber air terhad, keadaan tanah gambut yang lembut dan api yang sukar dipadamkan termasuk risiko binatang berbisa,” katanya.
Bagaimanapun, Khairul Azuwan berkata pihaknya komited meneruskan operasi bersepadu itu, yang dimulakan sejak 29 Mac lepas, dengan kekuatan 134 anggota termasuk masing-masing 20 dari Labuan dan Sarawak.
Ini kerana pihaknya telah mengenal pasti terdapat tiga titik panas di kawasan Hutan Simpan Binsuluk masing-masing di Kampung Pansung, Kampung Takuli dan Kampung Lumat yang perlu diberi perhatian agar kebakaran tidak berlarutan.
Katanya operasi memadam kebakaran melalui udara menggunakan kaedah bom air juga telah dilakukan di kawasan hutan simpan terbabit, dan kaedah sama turut dibuat di kawasan Hutan Simpan Trusmadi pada hari ini.
Bagi operasi di Bongawan, Papar, Khairul Azuwan berkata, seluas 11 hektar kawasan terbakar telah dipadamkan dan dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan kira-kira jam 6.30 petang, Rabu lepas.
Operasi di kawasan itu juga akan diteruskan pada hari ini untuk memadam keseluruhan mana-mana kawasan kecil yang masih terbakar.
“Diharap dengan operasi ini akan dapat mengurangkan tahap jerebu di kawasan berkenaan,” katanya. – BERNAMA