• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, August 13, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

SPRM Serbu Pejabat LGE Di Komtar Siasat Skandal Banglo Murah

oleh
26/03/2016
dalam Hangat
0
Share on FacebookShare on Twitter

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mereka telah memasuki Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di menara Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pagi Rabu.

Ia bagi memulakan siasatan skandal pembelian banglo ‘murah’ Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Jalan Pinhorn dan isu penjualan tanah Projek Perumahan Rakyat di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata semua pegawai kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM.

Ini juga memastikan SPRM dapat menjalankan dan menyiapkan siasatan dengan segera sekali gus merungkai misteri skandal hartanah yang hampir menyerupai kes bekas menteri besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.

Sebelum ini Guan Eng didakwa membeli rumah banglo bawah harga pasaran iaitu sebanyak RM2.8 juta sahaja walhal mengikut anggaran nilai hartanah semasa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ialah RM4.27 juta.

Salinan notis taksiran pindah milik LHDN bertarikh 27 Ogos 2015 itu yang terdedah baru-baru ini menyatakan Guan Eng perlu membayar duti setem sebanyak RM122,100 berdasarkan nilai pasaran banglo tersebut.

“DAP Pulau Pinang sokong segala tindakan diambil Ketua Menteri demi bantu SPRM dalam siasatan supaya dapat tegak prinsip urus tadbir bersih yang selama ini jadi tunjang pemerintahan negeri ini sejak 2008,” kata Kon Yeow.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu meminta ahli parti dan penyokong agar sabar dan tabah menghadapi cabaran terbaharu itu kononnya satu lagi usaha pihak musuh mencemarkan nama baik Guan Eng dan kerajaan negeri.

Baca: Apa Istimewa Hospital Mewah Daripada Flat Murah?

Juga: Skandal Banglo Murah – Apa Istimewa Miss Phang?

Lagi: LGE Kantoi Bohong Isu Tanah Flat PPR Taman Manggis

Pada Selasa, wanita misteri pemilik asal rumah iaitu Phang Li Koon dalam surat akuan bersumpahnya mengaku bahawa dia menjual rumah kepada Guan Eng dan keluarga – setelah mereka menyewanya selama enam tahun.

Dalam teks ucapan dibacakan saudara jauhnya, Phee Boon Poh yang juga Exco kerajaan negeri – konon transaksi itu dibuat tanpa sebarang tekanan, paksaan atau pengaruh, iaitu atas dasar kerelaan bersama pembeli dan penjual.

Li Koon juga mengaku konon tidak mahu lagi memiliki banglo tersebut selepas rumah itu sering menjadi sasaran serangan bom molotov cocktail dan juga ‘upacara pengebumian’ oleh kumpulan-kumpulan anti-Ketua Menteri

Dalam pada itu, SPRM mengalu-alukan kedatangan Guan Eng ke pejabat suruhanjaya itu pada bila-bila waktu bagi membantu siasatan berhubung skandal hartanah yang membabitkan pembelian banglo dan isu Taman Manggis.

“Berhubung kesediaan YAB Lim Guan Eng sendiri untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa sahaja untuk membantu siasatan.

“SPRM memberi jaminan bahawa dalam siasatan, SPRM menjalankan tugas dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes sebelum ini,” kata Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Malah tambah beliau lagi, sehingga kini pihak SPRM sudah menerima sebanyak lapan aduan rasmi dibuat daripada pelbagai pihak di seluruh negara berhubung isu kontroversi hartanah di Pulau Pinang tersebut.

“Bagi membolehkan proses siasatan itu dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh, SPRM juga telah memanggil beberapa saksi yang terlibat dan mengambil pelbagai dokumen-dokumen yang berkaitan.

“SPRM juga menerima banyak pertanyaan bilakah keterangan YAB Lim Guan Eng akan diambil,” kata Azam sambil menambah keterangan Guan Eng hanya akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh.

Bahkan kata beliau, ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen lengkap yang diperoleh untuk kes tersebut selesai diteliti oleh pihak SPRM dan keterangan semua saksi berkaitan berjaya diambil.

Minggu lalu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabuddin Yahaya mengaitkan pembelian banglo oleh Guan Eng pada 2015 dengan isu tanah Taman Manggis semasa membangkitkan persoalan harga jualan rendah hartanah itu.

– Mynewshub.cc/HAA

kroni

Tags: Lim Guan Eng
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

“Inilah Wajah Sebenar DAP” – Lingeshwaran Puji Rayer Bahas Isu Tabung Haji

“Inilah Wajah Sebenar DAP” – Lingeshwaran Puji Rayer Bahas Isu Tabung Haji

11/08/2026
0

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membahaskan isu Tabung Haji (TH) di Parlimen hari ini didakwa mencerminkan DAP...

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Silap Langkah” – Lim Guan Eng

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Silap Langkah” – Lim Guan Eng

11/08/2026
0

KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai silap langkah kerana menolak...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd