GEORGETOWN – Polis akan meneliti semua laporan polis yang dibuat beberapa pihak berhubung penjualan tanah Taman Manggis Fasa 2, di Jalan Burmah di sini yang didakwa mempunyai unsur penipuan dan penyalahgunaan kuasa.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata setakat ini pihaknya menerima dua laporan polis berhubung isu penjualan tanah itu.
“Kami akan teliti terlebih dahulu, jika ada kesalahan di bawah bidang kuasa polis, kami akan buka kertas siasatan.
“Kalau kes itu perlu dirujuk kepada jabatan lain yang sepatutnya, kami akan rujuk perkara itu kepada pihak berkaitan. Pada masa ini terlalu awal untuk saya memberi komen…biar polis teliti (laporan polis) terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Polis Ke 209 peringkat Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sementara itu, polis akan memanggil Phang Li Koon, wanita yang menjual banglo di Jalan Pinhorn di sini kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, dalam masa terdekat untuk direkod keterangan berhubung akuan berkanunnya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan untuk menyiasat laporan oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang berhubung kandungan akuan berkanun wanita itu.
Pada Rabu lepas, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri Ifan Zaini Md Tahar membuat laporan polis selepas mendakwa antara maklumat terkandung dalam akuan berkanun yang diikrarkan Phang ialah “saya tidak ada urusan perniagaan dengan kerajaan negeri’.
Phang yang merupakan pemilik banglo yang dijual kepada Lim dengan harga RM2.8 juta, membuat akuan berkanun itu pada Selasa lalu selepas isu penjualan banglo miliknya mendapat liputan meluas media massa kerana dikatakan dijual di bawah nilai harga pasaran.
Akuan berkanun itu dibaca anggota Exco negeri Phee Boon Poh, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Phang dan penasihat kepada Persatuan Phang, pada Selasa lepas. – BERNAMA

