KUCHING – Seramai 21 orang daripada lima keluarga masih ditempatkan di satu-satunya pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di daerah Serian ketika ini, jumlah yang sama sejak petang semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata hujan sekali-sekala sekitar bahagian Serian dan Kuching tidak membantu dalam mengurangkan jumlah mangsa di pusat pemindahan di Slabi, Entungkuh, kira-kira 70km dari sini pagi Rabu.
Beliau berkata persekitaran kawasan pusat pemindahan yang dibuka sejak 28 Feb lalu itu sedang dipantau rapi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum mangsa dibenarkan pulang.
Selain itu, katanya, di Kampung Koran, Serian, kira-kira 60km dari sini, 10 mangsa daripada dua keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan di balai raya kampung itu kerana kediaman mereka rosak akibat tanah runtuh. – BERNAMA

