Tuaran – Lima wanita termasuk budak perempuan berusia lima tahun lemas, seorang masih hilang selepas dua bot berlanggar di Sungai Serusup, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, dipercayai terdapat 30 individu berada dalam dua bot berkenaan sebelum berlanggar berikutan keadaan lokasi yang gelap.
Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.07 malam dan mengerahkan 12 anggota bersama tiga jentera ke lokasi kejadian.
“Perlanggaran membabitkan dua bot dipercayai dinaiki 30 individu terdiri daripada penduduk kampung berhampiran.
“Sebuah bot membawa penumpang pulang dari kerja manakala sebuah lagi dalam perjalanan ke majlis keraian di Kampung Penimbawan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mulliadi berkata, setakat ini seramai 24 mangsa sudah dijumpai termasuk lima daripadanya disahkan sudah meninggal dunia manakala seorang masih hilang.
“Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang.
“Operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama penduduk kampung,” katanya. – myMetro Online