KOTA KINABALU – “Fenomena El Nino yang melanda seluruh negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Jun,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata Mac adalah bulan yang mengalami kepanasan suhu tertinggi, namun, ia akan kembali normal pada Jun.
“Terdapat empat peringkat El Nino iaitu kuat seperti yang berlaku sekarang, akan beralih kepada sederhana, lemah, dan neutral (normal). El Nino neutral ini dijangka pada Jun,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pejabat Meteorologi Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Madius berkata pertukaran monsun timur laut dan barat daya pada penghujung Mac atau awal April ini juga dijangka memberi impak kepada perubahan suhu.
Mengulas lanjut, katanya, taburan hujan pada masa ini masih kurang tetapi ia dijangka bertambah pada Mei dan Jun.
Sementara itu, Madius berkata data dan maklumat diberikan Jabatan Meteorologi adalah tepat dan maklumat mengenai cuaca akan sentiasa diberikan bagi membolehkan semua agensi bersiap sedia menghadapi musim cuaca panas dan kering selain memudahkan orang ramai merancang aktiviti harian mereka.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai melayari laman sesawang kementerian untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai hal-hal cuaca. – BERNAMA

