KUALA LUMPUR – Bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah merasmikan Kejohanan Snooker di Kelantan ketika menjadi Menteri Besar negeri tersebut suatu masa dahulu.
Justeru, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Muhtar Suhaili menyelar pihak yang mengutuk Kejohanan Snooker Piala Ketua Pemuda PAS anjuran DPPM di Selayang, Selangor pada 27 Mac ini.
Malah, kata beliau, aspek hukum agama mengenai kejohanan tersebut sebenarnya telah dibincang dengan panjang lebar dalam Mesyuarat Penuh DPPM pada Februari lepas terlebih dahulu.
“Perkara pertama yang dibincang ialah apa pandangan dan hukum agama mengenainya.
“Ahamdulillah ahli-ahli agama dalam Exco DPPM memberikan pandangan berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil sebelum diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Muhtar berkata, antara justifikasi DPPM menganjurkan kejohanan itu untuk menarik segmen golongan muda mendekati PAS.
Kata beliau, DPPM akan memastikan program itu mematuhi syariah antaranya berhenti apabila masuk waktu solat serta ada solat berjamaah dan tazkirah tentang indahnya Islam.
Tambah beliau, DPPM akan turut memastikan tiada unsur-unsur minuman keras, suasana yang boleh menimbulkan fitnah serta tiada elemen perjudian dalam kejohanan berkenaan.
“Tiada unsur gharar dan judi dalam penganjuran ini. Yuran yang dikenakan untuk urus hal-hal berkaitan penganjuran seperti sewaan tempat, peralatan. DPPM maklum akan hukum-hakam berkaitan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kejohanan Snooker Piala Ketua Pemuda PAS itu hanya menawarkan hadiah sebanyak RM2,400 kepada pemenang.
Rancangan DPPM mengadakan kejohanan itu dikecam teruk oleh ahli-ahli dan penyokong tegar Pakatan Harapan kerana bakal diadakan pada 27 Mac 2016.
Ia kebetulan dijadualkan berlangsung pada tarikh sama Pakatan Harapan merancang mengadakan demonstrasi jalanan ala “Arab Spring” konon bagi menumbangkan kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu penyokong Pakatan Harapan yang didominasi DAP menuduh DPPM cuba merosakkan akhlak golongan muda Islam dengan program berunsur perjudian bagi memburuk-burukkan imej PAS. – mynewshub.cc