GEORGETOWN – Gerakan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung penjualan tanah Taman Manggis Fasa 2, di Jalan Burmah di sini yang didakwa kemungkinan berlaku penipuan dan penyalahgunaan kuasa.
Naib Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjung H’ng Khoon Leng berkata berdasarkan dokumen-dokumen baharu dan perkembangan terkini, terdapat dua kemungkinan kesalahan di sisi undang-undang berhubung penjualan tanah itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Patani di sini hari ini. Turut hadir Ketua Biro Pengaduan Awam UMNO Pulau Pinang Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin.
H’ng berkata pihaknya meminta polis menyiasat kemungkinan berlaku penipuan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dalam penjualan tanah itu di lot 305, 306, 313 dan 314 dalam Seksyen 16 di sini.
Polis juga diminta menyiasat kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa atau penyalahgunaan proses tender oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses penawaran tender untuk penjualan tanah itu, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung isu pembelian rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa di bawah harga pasaran dan siasatan sedang dijalankan. – BERNAMA

