ALKISAH seorang pemuda dari Malaysia menjual nasi lemak menggunakan basikal di perantauan mula menjadi bahan bualan dan viral menerusi laman Facebook.
Setiap insan mempunyai cerita dan kisahnya yang tersendiri apabila bergelar anak rantau yang terpaksa berkelana nun jauh terasing di perantauan negeri orang.
Izzat Roslan dan kisah perniagaan nasi lemak dengan hanya berbasikal memberi seribu inspirasi kepada pembaca kisah beliau yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.

Beliau dan isteri yang menetap di Brisbane, Australia mengguna segala kemahiran yang ada bagi meneruskan kelangsungan hidup di negara asing itu.
Selain itu, ia meringankan beban isteri beliau yang masih lagi bergelar penuntut ijazah kedoktoran atau PhD dalam jurusan Perakaunan di salah sebuah universiti di sana.
Berdasarkan apa dicerita, sebelum bermulanya bisnes nasi lemak ini, Izzat pernah ada pekerjaan yang bagus, namun disebabkan kejadian malang yang menimpa, beliau terpaksa berhenti kerja kerana belum pulih sepenuhnya.

Demi menyara diri dan isteri, Izzat mencari sumber pendapatan halal dengan menjual nasi lemak dan menghantar pesanan pelanggan terus dari rumah ke rumah dengan hanya berbasikal.
Menurut Izzat melalui satu posting di Facebooknya, beliau sanggup berbasikal kerana tidak mampu untuk membeli kereta dan sedar akan pulangan yang diterima tidaklah seberapa.
Namun beliau pada masa sama tetap bersyukur kerana masih punya isteri yang faham akan kondisi diri beliau dan sentiasa menyokong dirinya dari belakang.

Bagi pemuda yang berjiwa kental ini, setiap orang ada ujian yang berbeza-beza demi meneruskan hidup. Yang penting jangan berputus asa dan sentiasa berusaha serta menghargai kesenangan yang dimiliki. –MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=OVcf0CFBPlk]

