GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat alasan bodoh konon transaksi pembelian rumahnya di Jalan Pinhorn yang berharga RM2.8 juta itu dibuat secara rela hati antara pembeli dan penjual tanpa sebarang paksaan.
Guan Eng berdalih transaksi itu dibuat kononnya berasaskan kesanggupan secara bebas dan rela hati di antara beliau dan penjual yang membawa kepada rumah jenis banglo dua tingkat di Jalan Pinhorn yang berusia 30 tahun itu dibeli dengan harga berkenaan.
“Saya membeli dengan mengambil pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki RM700,000 dibayar secara tunai berdasarkan apa yang saya terima (gaji) sebagai Ketua Menteri dan wakil Rakyat.
“Kontrak penjualan rumah ini umpama seperti perkahwinan – ia terpulang kepada kedua-dua pihak masing-masing secara rela hati untuk memutuskan harga yang sesuai atau teman yang sesuai,” dalihnya dalam satu sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak hari ini.
Semalam, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shabudin Yahaya yang juga anggota Parlimen Tasek Gelugor telah meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta (JPPH) untuk membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM3 juta.
Guan Eng yang enggan menerima sebarang soalan berhubung isu itu, hanya ‘berani’ membaca kenyataan dan turut berlagak mencabar Shabudin untuk bersemuka secara satu-sama-satu di hadapan media massa di pejabatnya untuk berbincang berhubung isu berkenaan.
“Saya akan menunggu Shabudin di pejabat pada Ahad ini 20 Mac, 11 pagi untuk berbincang dan mencari kebenaran daripada fakta, di hadapan semua media,” katanya sambil membaca teks kenyataan dirinya sendiri.
Guan Eng berdalih lagi, adalah tidak benar untuk mengaitkan pembelian rumahnya pada tahun 2015 dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada tahun 2012 apabila penjualan tanah itu dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif.
Shabudin turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). – BERNAMA

