KUALA LUMPUR – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim memberi jaminan bahawa penuntutnya tidak terpengaruh dengan anasir tidak sihat termasuk kegiatan kumpulan pengganas seperti Daesh.
Rais berkata pihak pengurusan universiti sentiasa meningkatkan pengawasan keselamatan bagi membendung sebarang kecenderungan terhadap kegiatan keganasan itu.
“Setakat ini, Alhamdulillah kita tidak ada kesan atau bukti mahasiswa kita terlibat dengan angkatan terrorisme atau IS (Daesh),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Budi peringkat UIAM di Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM sini, Jumaat.
Beliau berkata pihak universiti sedia bekerja dengan agensi keselamatan negara sekiranya penuntutnya terlibat termasuk menyerahkan maklumat dan indentiti mereka yang berkaitan.
Sebelum ini, terdapat laporan kumpulan berkenaan memujuk untuk ‘berjihad’ dengan menyasarkan golongan berusia antara 15 dan 30 tahun, termasuk daripada kalangan pelajar serta penuntut universiti bermasalah dalam pengajian atau keluarga.
Mengenai kempen Budi, Rais yang juga Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan berkata program Budi dijadikan sebagai subjek di UIAM selain mewujudkan Tokoh Budi dalam kalangan pensyarah dan pelajar serta memperkenalkan program Budi tersohor.
“Kegiatan Budi ini bukan sahaja perlu diamalkan dalam program gotong-royong, bertegur sapa dan memberi salam tetapi ia menjurus kepada peribadi, personaliti dan sahsiah masing-masing untuk mewujudkan suasana harmoni di universiti,” katanya.
Beliau turut menyarankan setiap agensi kerajaan, sekolah, pusat pengajian, kolej dan pusat latihan polis menerapkan latihan program Budi sebagai sebahagian aktviti mereka bagi membentuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]uhvvi9Ngj9U[/wpdevart_youtube]
