KUALA LUMPUR – Sehari dua ini macam ‘pesta’ dalam kem pembangkang dan mereka yang anti Perdana Menteri selepas dakwaan Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland sedang siasat kes penyelewengan berkaitan 1MDB.
Belum tahu hujung pangkal, ‘senapang gajah’ dihalakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya kali ini habislah beliau ‘kantoi’ dalam isu korupsi sayap pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad itu.
Bagaimanapun malangnya keseronokan pembangkang tersebut tidak bertahan lama selepas jurucakap OAG, Andre Marty memberitahu Nikkei Asian Review bahawa Najib bukan pun suspek mereka dalam siasatan kes itu!
Lebih menarik lagi, 1MDB memberitahu bahawa syarikat tersebut langsung tidak dihubungi oleh OAG untuk membantu siasatan namun menyatakan kesediaan bekerjasama sekiranya dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
Jurucakap OAG, Andre Marty memberitahu Nikkei Asian Review dalam setiap prosiding jenayah yang berterusan dilakukan pihak OAG sendiri, Najib bukan salah seorang daripada pegawai awam yang disyaki oleh mereka.
Sebelum ini kenyataan OAG mendedahkan, pihaknya mengesyaki ada bekas pegawai-pegawai Malaysia dan ‘orang yang tidak dikenali’ terlibat dalam dakwaan penyelewengan dana daripada syarikat milik negara tersebut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media, 1MDB berkata ia tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing berhubung proses siasatan terhadap urusan firma itu sebagaimana diuar-uarkan portal propembangkang.
Namun 1MDB berkata, ia terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa undang-undang dan penyiasatan yang sah, tertakluk kepada nasihat daripada pihak yang berkaitan dalam negara.
1MDB turut mengikut protokol antarabangsa yang mengawal perkara itu sekali gus menepis tohmahan jahat pihak tertentu konon Perdana Menteri disiasat selepas namanya dibersihkan dalam isu dana berjumlah RM2 bilion.
Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan Najib tidak terlibat dengan salah laku berkaitan derma dan RM42 juta disalurkan firma milik negara SRC International ke dalam akaun peribadinya.
Sumbangan itu adalah daripada ‘keluarga diraja Arab’ untuk kegunaan dalam pilihan raya umum di Malaysia dan daripada jumlah itu, AS$620 juta telah dipulangkan semula oleh Najib kepada pendermanya pada 2013 lalu.
Najib sebelum itu telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil ‘wang rakyat’ untuk kegunaan peribadi sebaliknya dana digunakan untuk berdepan dengan pembangkang yang turut dibiayai banyak pihak.
Apandi berkata Malaysia sedia membantu siasatan Switzerland waima Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kurang senang terhadap OAG yang membuat kenyataan terbuka berhubung isu 1MDB.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

