SHAH ALAM – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya pada 26 Jan lepas.
Tertuduh, V. Viramuthu, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Surya Wati Shawal.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Viramuthu dituduh membunuh A. Kristina, 22, antara pukul 8.30 malam dan 10.30 malam di belakang sebuah kedai di Jalan Musytari U5/AM, Subang, dekat sini.
Jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 8 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sunip sementara tertuduh diwakili peguam R. Mahendran Naidu.
Akhbar hari ini melaporkan seorang bapa yang mendera anak tirinya cuba menipu seorang doktor dengan mengatakan gadis tersebut mengalami kecederaan akibat diserang sawan dan terjatuh di bilik air ketika dihantar untuk rawatan di Hospital Sungai Buloh, dekat sini, Selasa lepas.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan pada Rabu dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan cekik serta kecederaan teruk di dada serta perut gadis itu menyebabkan perbuatan tertuduh terbongkar. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]fhExYSvbNB8[/wpdevart_youtube]

