KUALA LUMPUR – Pembangkang mengambil kesempatan daripada penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO untuk membangkitkan sentimen kenegerian rakyat Johor supaya membenci parti keramat Melayu itu.
Pemimpin Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kaiat mendakwa, penggantungan jawatan Muhyiddin kononnya telah menjejaskan UMNO Johor selaku UMNO yang hebat dalam Malaysia.
“UMNO Johor Melahirkan ramai pimpinan yang berbakat. Kehebatan UMNO Johor sudah tidak bermakna lagi,”dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ironinya, Suhaizan sebelum jawatan Muhyiddin digantung sering menuduh kononnya semua pemimpin UMNO termasuk Muhyiddin lemah dan tidak berkemampuan untuk mentadbir negara.
Semalam, kumpulan penentang dalaman UMNO turut dilihat menggunakan sentimen kenegerian Johor untuk mempertahankan kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa, sebarang tindakan tatatertib dikenakan ke atas Muhyiddin akan menghampakan seluruh rakyat
“Johor tidak hanya kehilangan seorang anak Johor sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi juga potensi untuk anak Johor itu dinaikkan ke pangkat Perdana Menteri,” dakwa Mukhriz dalam satu kenyataan pagi semalam.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam secara bersama memutuskan jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO digantung hingga pemilihan parti akan datang.
Keputusan itu dibuat tanpa penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertindak meninggalkan bilik mesyuarat untuk memberi kebebasan kepada ahli MT UMNO menentukan perkara itu. – mynewshub.cc

