KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa beliau konon adalah suara kepada lebih 3 juta ahli UMNO yang mahu Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.
Dakwa Kit Siang, beliau adalah wakil seluruh ahli UMNO yang berpandangan kononnya Najib telah gagal membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi selepas 40 tahun terlibat dalam bidang politik.
“Malaysia tidak pernah mencapai tahap yang lebih baik dalam rasuah.
“Saya percaya saya boleh bercakap bagi pihak majoriti 3 juta ahli UMNO dan 21,000 cawangan UMNO bahawa mereka dalam ketakutan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang sebelum ini mengumumkan Pakatan Harapan yang didominasi parti DAP akan memastikan kira-kira 3 juta ahli UMNO berpaling tadah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memberi kemenangan kepada pembangkang.
Beliau dipetik berkata, misi itu adalah cabaran paling besar yang perlu dilaksanakan oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) bermula tahun ini.
Kit Siang pada November tahun lalu pernah juga mengumumkan parti itu menawarkan kerjasama dengan mana-mana ahli UMNO yang berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO.
Malah, beliau secara terbuka pada 14 Februari lalu mengumumkan DAP akan bekerjasama dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya bagi menjatuhkan Najib.
Muhyiddin bagaimanapun menafikan tentang pendedahan itu kerana khuatir kehilangan sokongan ahli UMNO. – MYNEWSHUB.CC

