KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus diasak supaya meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Desakan itu dibuat ekoran tindak-tanduknya yang bercanggah dengan kepentingan parti sejak Ahli Parlimen Pagoh itu digugurkan daripada jawatan Kabinet.
“Jika Muhyiddin benar-benar sudah tidak boleh sehaluan dengan apa yang diamalkan UMNO selama ini, beliau patut berundur.
“Atau mungkin juga (Muhyiddin) boleh menawar diri untuk jawatan Presiden dalam pemilihan akan datang,” cabar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.
Azalina menerangkan, tindakan Muhyiddin menyerang pucuk pimpinan parti terutama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh melemahkan parti itu.
Kata beliau, sebarang perbezaan pendapat atau pandangan oleh Muhyiddin sepatutnya dibuat melalui saluran yang betul supaya tidak berlaku perpecahan dalam UMNO.
“Sebagai orang nombor dua dalam parti keramat UMNO ini, Muhyiddin sepatutnya memainkan peranan sebaik mungkin bagi melicinkan kerja-kerja Presiden UMNO.
“Muhyiddin perlu ingat yang beliau masih Ahli Parlimen Pagoh atas tiket Barisan Nasional (BN) dan jentera BN yang banyak membantu beliau selama hari ini. Ingatlah jasa parti,” katanya.
Azalina seterusnya berkata, Muhyiddin perlu menyedari kesetiaan kepada pucuk pimpinan adalah perkara pokok yang menjadi amalan dalam mana-mana parti politik di seluruh dunia.
Kata beliau, setiap pemimpin parti dikehendaki patuh kepada peraturan dan dasar-dasar parti kerana perkara itu yang menjadi tunjang kepada kekuatan sesebuah parti.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut meminta Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Ia ekoran Muhyiddin dilihat tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna oleh parti.
“Perlembagaan UMNO menyatakan dengan jelas bahawa tugas Timbalan Presiden parti itu adalah untuk membantu Presiden,” kata Mohamed Nazri. – MYNEWSHUB.CC

