PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri menerima 8,418 permohonan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin dalam tempoh empat hari, bermula 15 Feb sehingga semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata ia melibatkan 8,100 permohonan bagi warganegara Indonesia, 178 warganegara Myanmar dan 140 bagi lain-lain warganegara.
Beliau berkata pelaksanaan program itu akan diteruskan bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) dari 15 negara sumber sedia ada.
“Kerajaan ingin menyarankan agar pihak majikan di negara ini menggunakan peluang untuk menyertai program itu yang bermula pada 15 Feb.
“Ini adalah susulan keputusan kerajaan semalam untuk menangguhkan pengambilan semua pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Alwi berkata penangguhan pengambilan semua pekerja asing berkuat kuasa sehingga kerajaan berpuas hati mengenai keperluan sebenar tenaga kerja asing seperti yang diperlukan oleh industri-industri di negara ini.
“Kerajaan juga menangguhkan penetapan terhadap pembayaran dua kategori levi di samping memberi peluang secukupnya kepada rakyat tempatan bekerja di sektor-sektor yang didominasi oleh pekerja asing,” katanya.
Pada masa yang sama, Alwi berkata KDN juga mengarahkan Jabatan Imigresen meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kesemua pekerja asing yang berada dalam negara ini mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah dan tindakan penguatkuasaan juga diambil kepada pekerja asing yang terlibat dalam
sektor-sektor yang tidak dibenarkan penggajian pekerja asing.
“Jabatan Imigresen yang memulakan operasi semalam dengan pemeriksaan ke atas 2,125 warga asing dan daripada jumlah itu, seramai 971 orang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.
Sementara itu, Alwi berkata permohonan bagi program itu oleh majikan dan PATI hanya boleh dilakukan secara atas talian melalui portal rehiring.imi.gov.my dan syarat-syarat terperinci program boleh dimuat turun daripada laman web yang sama.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program itu boleh dirujuk kepada Pusat Panggilan Rehiring Programme mengikut warganegara : Indonesia 03-4149 4788 atau emel ke [email protected], Myanmar 07-333 4797/ 07-3336797 atau e-mel [email protected].
Lain-lain warganegara 03-7801 8888 atau e-mel ke [email protected]. Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia di talian 03-88801555 atau 03-88801557 setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 11 malam. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]w4wCy3VFnp4[/wpdevart_youtube]

