KUALA LUMPUR – Empat bangunan sekitar kawasan PJ Trade Centre, Petaling Jaya terputus bekalan elektrik selepas kabel sepanjang 67 meter milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terbakar petang semalam.
Jurucakap TNB ketika dihubungi Bernama berkata, sehingga 11.30 malam tadi, pihaknya masih menjalankan kerja-kerja baik pulih bekalan di kawasan tersebut.
“Kebakaran kabel berlaku di basemen salah sebuah bangunan terbabit dan punca kejadian masih disiasat,” katanya di sini.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Damansara Seksyen 7 berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.16 petang.
Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian dan tiba sembilan minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak dan berjaya dikawal 10 minit selepas itu,” katanya sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]mZO9OOYuJO0[/wpdevart_youtube]

