JOHOR BAHARU – Kerajaan Johor memperuntukkan hampir RM1` juta tahun ini kepada 133 Komuniti 1Malaysia (K1M) bagi membolehkan pertubuhan sukarelawan itu menjalankan aktiviti.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Md Jais Sarday berkata, peruntukan berjumlah RM997,500 yang merangkumi RM465,500 untuk pentadbiran dan RM532,000 bagi aktiviti itu, disalurkan melalui Jabatan Penerangan.
Katanya, setiap K1M menerima RM3,500 untuk menguruskan pentadbiran serta RM4,000 lagi bagi menjalankan aktiviti pertubuhan.
“Sehingga Januari lepas, terdapat sebanyak 133 K1M bernaung di bawah Jabatan Penerangan negeri.
Daripada jumlah itu, 99 adalah K1M Melayu, 17 (Cina), lima (India), empat (Orang Asli) dan lapan (campuran),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Permuafakatan dan Penyampaian Geran Pentabdiran dan Aktiviti kepada semua pengerusi daerah K1M, di sini hari ini.
Md Jais berkata menjelang Mac tahun ini, kerajaan negeri dijangka meluluskan penubuhan lima lagi K1M sebagai memantapkan jaringan sedia ada, selain meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
K1M, yang dahulunya dikenali sebagai Komuniti Bestari dilancarkan pada 19 Dis 2010 bertujuan memupuk dan mengekalkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat untuk merealisasikan aspirasi negara. – BERNAMA