KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 2 Januari lalu bersetuju untuk meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam memperkukuhkan Islam di Malaysia.
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Mohd. Zawawi Salleh berkata, keputusan itu selaras dengan salah satu dasar Islam yang dipegang PAS iaitu bekerjasama dan tolong menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.
“Hal ini berasaskan kepada firman Allah swt di dalam Al-Quran: Dan hendaklah kamu bekerjasama untuk melaksanakan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bekerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Surah Al Maidah: Ayat 2),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Mohd. Zawawi turut memetik Sabda Rasulullah s.a.w: Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Lalu ditanya kepada Baginda, Ya Rasulullah s.a.w. kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi tapi bagaimana pula kami akan menolong orang yang zalim, Baginda menjawab , elak dan cegah mereka dari melakukan kezaliman itulah erti menolong mereka. (Riwayat Imam Bukhari).
Mynewshub.cc kelmarin melaporkan kerjasama politik di antara dua parti terbesar orang Melayu, UMNO dan PAS mungkin bakal direalisasi selepas Presiden PAS dijadualkan memberi taklimat khas tentangnya pada Sabtu ini.
Ia berikutan kemesraan yang terjalin diantara pemimpin PAS dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak kebelakangan ini, malah Najib secara terbuka menghulurkan ‘salam silaturrahim’ kepada PAS pada satu majlis baru-baru ini.
Perkembangan terbaru itu menyebabkan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin gelabah lalu memperhebatkan usaha mereka memburuk-burukkan Presiden PAS dan pimpinan parti itu melalui media sosial.
Nik Mohd. Zawawi bagaimanapun memaklumkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan PAS tidak akan menyertai Barisan Nasional. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]-evGjesBxP4[/wpdevart_youtube]

