KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki susulan pembunuhan seorang lelaki di sebuah kompleks beli-belah di Kepong pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata tangkapan pertama dilakukan sejurus selepas kejadian pada tengah hari Selasa di Jinjang manakala seorang lagi ditangkap di Damansara kira-kira 12 tengah hari Rabu lepas.
Menurutnya, kedua-dua mereka berusia 20-an dan dipercayai mengenali mangsa.
“Kami juga telah mengenal pasti kira-kira lima hingga lapan individu warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan ini,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.
Katanya polis yang masih menyiasat punca kejadian menafikan kes itu bermotifkan perasaan cemburu yang dialami suspek terhadap mangsa ekoran hubungan si mati dengan seorang wanita.
Mangsa lelaki warga tempatan itu ditemui dengan mukanya cedera parah dan berlumuran darah di kompleks beli-belah berkenaan.
Sementara itu, Munusamy berkata polis kini memburu empat lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes tembakan rambang terhadap dua warga Myanmar di Pasar Borong Jalan Ipoh di sini pada 14 Jan lalu.
“Setakat ini, dua lelaki tempatan telah ditahan dan direman sehingga 28 Jan,” katanya.
Pada 14 Jan lepas, seorang lelaki berumur 34 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, kedua-duanya warga Myanmar cedera selepas terkena tembakan rambang. – BERNAMA

