KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO yang mengadakan perhimpunan agung di sini hari ini senada meminta presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden parti itu agar bersatu kembali sebagai satu pasukan.
Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di samping bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu ‘duduk berbincang’ dengan kepimpinan tertinggi UMNO bagi menyelesaikan segala kemelut dalam parti.
“Kami (Wanita UMNO) mahu penyatuan antara pemimpin-pemimpin tertinggi. Kami sayap-sayap bersatu, kenapa tidak kepimpinan tertinggi pun bersatu? “Saya hendak minta sempena Perhimpunan Agung UMNO biarlah kita akhiri dengan tindakan positif dan kembali semula (eratkan) silaturahim,” katanya kepada pemberita selepas tamat Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di sini, hari
ini.
Shahrizat percaya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai ‘hati yang terbuka’ untuk mengadakan perbincangan.
“Saya percaya Datuk Seri Najib berjiwa besar. Saya juga percaya kalau Tan Sri Muhyiddin dan Shafie dan lain-lain duduk bersama dan berunding dengan Najib dan Ahmad Zahid (Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bersama-sama Tun Mahathir dan lain-lain, saya percaya kita boleh rungkai kemelut yang ada pada hari ini. Itulah doa Wanita,” katanya.
Mengenai isu jawatan dalam kabinet, Shahrizat berkata itu bukan menjadi persoalan utama, sebaliknya fokus semua anggota adalah bertugas dan berkhidmat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ditanya sama ada beliau akan menemui Muhyiddin untuk mencadangkan sebarang perbincangan, beliau berkata: “Saya akan cuba sebab kita dilatih untuk sayangkan semua.”
Sementara itu, Shahrizat mewakili 1.3 juta anggota pergerakan itu turut menyatakan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana kumpulan serpihan yang wujud dalam parti.
Memberi gambaran sebuah kapal tidak boleh mempunyai lebih daripada seorang nakhoda, beliau berkata Wanita UMNO akan terus berjuang dan setia dalam satu barisan bersama-sama perdana menteri.
“Kitalah yang sepatutnya jadi benteng utama kepada parti, bukannya kita keluar daripada kepompong politik dan bersama-sama dengan pembangkang,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan penangguhannya, Shahrizat berkata sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO mahu menyatukan ‘kaum bapa’ demi perpaduan parti sekaligus melawan parti pembangkang.
“Kami mintak doa, semua pemimpin kita kembali di bawah naungan UMNO. Takkan kita hendak biarkan DAP menguasai negara ini,” katanya, sambil menambah, kesemua 10 pembahas menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Najib sebagai presiden dan perdana menteri. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]_D4obqB7sFQ[/wpdevart_youtube]

