JOHOR BAHARU – Seorang lelaki warga tempatan dijumpai lemas di sebuah kolam ternakan ikan di Kampung Melayu Raya, Pekan Nenas, dekat Pontian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian Pemangku Supt Zakaria Abd Rahman berkata mayat lelaki berusia 30-an itu dijumpai berpakaian lengkap oleh penduduk kampung pada 11.55 pagi tadi.
“Hasil bedah siasat, lelaki itu dipercayai mati dua hari lepas dan merupakan warga tempatan berdasarkan tanda suntikan BCG di lengan.
“Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zakaria berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian, dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – BERNAMA

