PETALING JAYA – Beberapa gerai pemprosesan ayam di Pasar Jalan Othman di sini diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) awal pagi Sabtu ekoran penyembelihannya telah melanggar peraturan digariskan Islam.
Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Halal Jais, Ahmad Solihin Maryakon berkata, pemilik gerai berkenaan didapati mengupah warga asing yang tidak diketahui sama ada mereka beragama Islam atau sebaliknya.
Pekerja terbabit masing-masing dikesan melarikan diri ketika serbuan secara mengejut dilakukan oleh pihak JAIS sekitar jam 4 pagi.
“Pada awal pemeriksaan, kita dapati kebanyakan ayam yang disembelih kelihatan mengikut syarat yang digariskan ajaran Islam.
“Bagaimanapun setelah diteliti, cara penyembelihannya tidak sempurna kerana tidak mengenai urat marih,” katanya kepada pemberita di lokasi pasar tersebut.
Menurutnya, ayam berkenaan dipercayai untuk dijual di restoran dan pasar-pasar di sekitar Petaling Jaya. – Sinar Harian Online

