KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta kerajaan Sabah mengambil langkah serius berhubung isu harga barang makanan terutama ayam segar di negeri ini.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Bung Moktar berkata, harga ayam segar dijual di Sabah dilihat lebih tinggi berbanding di Semenanjung iaitu sekitar RM7 hingga RM9 untuk satu kilogram.
“Namun di Sabah, saya hairan harga ayam segar berbeza mengikut lokasi dan pembekal. Secara purata, harganya sekitar RM12 hingga RM15.50 untuk satu kilogram dan boleh juga mencecah RM16.50 untuk satu kilogram.
“Ini adalah harga pada hari biasa, bukan semasa musim perayaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, pada November 2023, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib menjelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bahawa antara punca harga ayam di Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung ialah perbezaan enakmen dan akta yang dilaksanakan di Sabah.
“Menurut beliau, pengusaha di Semenanjung boleh mengimport ayam dari luar negara seperti Poland. Namun, untuk melindungi Sabah daripada penyakit bawaan haiwan, import ayam ke Sabah adalah terhad menyebabkan bekalan ayam di Sabah menjadi kurang.
“Malah beliau turut menyatakan bahawa kos makanan ayam di Sabah tinggi kerana bahan mentah perlu diimport dari Semenanjung menggunakan kapal laut, yang menambah kos operasi.
“Jadi di sini, saya ingin menegaskan bahawa di Semenanjung terdapat 10 negeri yang menjalankan ternakan ayam secara besar-besaran, termasuk menetaskan telur untuk menghasilkan anak ayam sendiri.
“Saya tidak mendengar sebarang keperluan mereka untuk mengimport ayam secara besar-besaran, melainkan ia adalah ayam sejuk beku jika ada,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata lagi, bagi kos makanan ayam atau dedak, Sabah sebenarnya berpotensi besar untuk menghasilkan bekalan sendiri secara berskala besar tanpa perlu bergantung kepada pembekal dari Semenanjung.
“Justeru, saya mencadangkan agar pihak berkenaan menjalankan lawatan ke negeri di Semenanjung untuk mempelajari kaedah mereka mengawal harga ayam secara efektif.
“Selain itu, peranan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga diperlukan untuk membuat pemantauan dan kawalan harga ayam yang dilihat tidak dapat terkawal di Sabah.
“Isu ini tidak akan selesai jika kita terus mencari alasan tanpa mengusahakan penyelesaian, kerana rakyat yang akhirnya menanggung derita terutama golongan berpendapatan rendah yang terbeban dengan kos perbelanjaan harian,” katanya.
SinarHarian-