PENERBIT drama dan pelakon, A. Aida menyangkal dakwaan beliau membeli pingat Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk.
Sebaliknya A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 44; menegaskan beliau menerima pingat berkenaan daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berdasarkan sumbangan dan kerja amal yang dilakukan kepada masyarakat tanpa mendapat liputan media.
“Saya tidak membeli gelaran Datuk ini dan saya tidak tahu ianya boleh beli atau tidak. Apa yang saya terima ini berikutan sumbangan amal selama ini yang dilakukan tanpa pengetahuan orang ramai.
“Saya buka sekolah tahfiz atau bina surau tak perlu dihebohkan kepada media, atas perkara itu mungkin saya diberi penganugerahan ini,” katanya kepada mStar Online.
A. Aida merupakan antara 80 penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, yang diberikan dalam satu upacara di Istana Pahang, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.



