MOSCOW – Perkhidmatan Keselamatan Rusia (FSB) menawarkan ganjaran AS$50 juta (RM218.5 juta) kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai ‘pengganas’ yang menyebabkan sebuah pesawat komersial negara itu terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir, bulan lalu.
FSB juga merayu bantuan untuk mengenal pasti pengganas yang meletupkan bom dalam pesawat A321, Metrojet 9278 ketika dalam perjalanan dari lapangan terbang Sharm el-Sheikh, Mesir ke St. Petersburg dekat sini, sehingga menyebabkan semua 224 penumpang dan anak kapal terbunuh.
Baca: Pesawat Rusia Bawa 224 Orang Terhempas Di Mesir
Juga: Bom Mungkin Sebab Pesawat Rusia Terhempas Di Mesir?
Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Britain awal bulan ini menyatakan letupan bom kemungkinan besar punca pesawat malang itu terhempas manakala kumpulan militan IS berkeras mendakwa ia bertanggungjawab atas nahas yang cukup mengejutkan tersebut.
“Akan ada ganjaran sebanyak AS$50 juta kepada mereka yang dapat memberi maklumat bagi membantu FSB untuk menangkap penjenayah berkenaan,” kata kenyataan agensi tersebut menerusi laman webnya pada Rabu. – AFP/BH ONLINE