KUALA NERUS – Sejumlah 2,628 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2014 di negeri ini menjadi kumpulan pertama menerima hadiah berupa Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM500.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Terengganu menjadi negeri pertama yang menawarkan hadiah yang disalurkan menerusi Yayasan Terengganu (YT) itu dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pembaharuan itu antaranya bagi mendidik para pelajar supaya bijak menabung untuk kemudahan pendidikan mereka pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat emas, anugerah khas dan hadiah kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam 2014 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata beliau berharap kerajaan negeri lain akan mencontohi Terengganu kerana ia bukan sahaja memberi impak positif kepada kerajaan, malah juga kepada ibu bapa dan pelajar berkenaan.
Beliau berkata sebanyak 2.4 juta penyimpan dengan dana deposit terkumpul mencecah RM1.79 bilion direkodkan sejak SSPN-i diperkenalkan tahun 2014 hingga Sept lepas. – BERNAMA

