IPOH – Seramai 339,921 atau 19.5 peratus penduduk berumur 21 tahun dan ke atas yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi di Perak sehingga suku kedua tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata hanya 1,405,711 orang yang telah mendaftar sebagai pengundi daripada jumlah keseluruhan penduduk yang layak untuk mendaftar iaitu 1,745,632 orang.
“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak mempunyai maklumat berkaitan jumlah terkini penduduk mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah berumur 21 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pengundi yang sah di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Abdul Yunus Jamahri (BN-Kuala Kurau) mengenai jumlah terkini penduduk mengikut DUN yang telah cukup umur 21 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pengundi pada persidangan DUN di sini hari ini.
Zambry berkata SPR negeri sentiasa mempergiat usaha dan kempen untuk menyeru penduduk yang layak supaya mendaftar sebagai pengundi.
“Kempen-kempen sepanjang tahun telah dilakukan di pelbagai premis tumpuan orang ramai termasuk di kompleks membeli-belah untuk memudahkan pendaftaran pemilik yang layak.
“Saya menyeru penduduk Perak berusia 21 tahun dan ke atas untuk menggunakan hak masing-masing mendaftar sebagai pemilih,” katanya.
Mengenai cadangan kerajaan negeri untuk memberi kuasa kepada ketua kampung atau institusi lain berkelayakan untuk mendaftar pengundi, Zambry berkata ketua kampung dibenarkan, tetapi ia bergantung kepada faktor umur dan keputusan yang dibuat oleh pihak SPR.
“Ditambah satu lagi kelompok yang baharu ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Perwakilan Penduduk yang berkelayakan (mendaftar),” katanya menjawab soalan tambahan Salbiah Mohamed (BN-Temengor). – BERNAMA

