NAMA dua tenaga pengajar dan juri program nyanyian The Voice, Gwen Stefani dan Blake Shelton kini hangat diperkatakan dalam radar hiburan antarabangsa.
Ini semua gara-gara tersebarnya gambar mesra mereka ketika menghadiri parti Halloween yang dianjurkan oleh rakan juri, Adam Levine baru-baru ini.
Walaupun gambar yang ditangkap kelihatan kabur, namun kemesraan yang ditonjolkan mereka tidak seperti hubungan biasa, sebaliknya Eonline mendakwa mereka kini secara senyap-senyap sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Blake, pada Julai lalu mengumumkan penceraiannya dengan penyanyi lagu country, Miranda Lambert selepas empat tahun berkahwin.
Dan tak lama selepas itu, Gwen pula mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan perpisahannya dengan suami, vokalis kumpulan Bush, Gavin Rossdale selepas 13 tahun hidup bersama.
Walaupun kisah ini sedang hangat diperkatakan, namun kedua-dua selebriti ini masih enggan memberikan sebarang komen. – MYNEWSHUB.CC





