KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mengulangi pendirian parti itu akan tetap bekerjasama dengan PAS walaupun dibantah keras oleh DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PKR menyambut baik penyertaan PAN dalam Pakatan Harapan tetapi PKR akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Hanya dengan muafakat utuh tanpa dibelenggu prejudis serta prasangka yang menebal, kita mampu mencapai kemenangan.
“Sebagai pemimpin dan anggota parti reformasi, kita mesti bersikap tawaduk dan bukannya angkuh, sombong dan bengkeng,” katanya semasa merasmikan Kongres Angkatan Muda dan Wanita Keadilan 2015.
DAP sebelum ini mendesak Mohamed Azmin memecat semua wakil PAS dalam kerajaan Selangor memandangkan PAS bukan parti gabungan Pakatan Harapan.
PAN pula mempersoalkan kerjasama Pakatan Harapan dengan PSM yang mempertikaikan hak keistimewaan Bumiputera dalam Perlembagaan Malaysia.
Mohamed Azmin bagaimanapun mengingatkan semua pihak dalam PKR bahawa kenyataannya mengenai kerjasama dengan PAS dan PSM itu selari dengan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 11 Oktober 2015 lalu yang perlu dipertahankan.
Justeru, beliau mahu semua pihak khususnya DAP dan PAS supaya menghormati pendirian yang diambil oleh PKR dan jangan sekali-kali cuba melaga-lagakan pimpinan parti itu.
“Ini Parti kita. Ini Kongres kita. Kita terpanggil untuk berhimpun di sini bagi membincangkan agenda perjuangan PKR. Jangan sama sekali kita membenarkan orang luar untuk menentukan masa depan parti,” katanya. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]E1Sb3Y8NwY8[/wpdevart_youtube]

