MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang ahli perniagaan selepas didapati bersalah mencederakan seorang pekerja cuci kenderaan warga Bangladesh di Subang Perdana, Sabtu lepas.
BACA: Rani Kulup Sokong Pemilik Range Rover Tampar Pekerja Bangla
Pertuduhan dibacakan oleh Majistret Ellyana Razali selepas tertuduh, Mohd Risamuddin Abdul Wahab, 36, mengaku bersalah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, Risamuddin diarah membayar kompaun RM5,000 kepada mangsa, Shaheb Ali dan majikannya, Haziyati Abdul Hamid selepas kedua-duanya mencapai persetujuan mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pusat cuci kereta Master Clean Car, Kampung Baru Subang pada jam 12.45 tengah hari, 17 Oktober 2015.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak tidak mengeluarkan kenyataan kepada pihak media serta tidak boleh mengambil tindakan sivil sesama mereka.
Terdahulu, rakaman video litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan Risamuddin menampar Shaheb di sebuah pusat mencuci kenderaan menjadi viral di laman sosial.
Difahamkan, punca kejadian disebabkan tertuduh berang kerana mangsa telah mengotorkan bahagian dalam kereta jenis Range Rover miliknya.
Akibat insiden itu, mangsa dibelasah sehingga hidungnya patah. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: BH Online
[youtube http://www.youtube.com/watch?v=nDGnIoss4GI]

